GIATMARA merupakan sebuah institusi latihan kemahiran peringkat akar umbi yang ditubuhkan di bawah akta syarikat dan dikenali sebagai GIATMARA Sendirian Berhad. Pentadbiran GIATMARA diletak di bawah MARA, sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW).
Penubuhan GIATMARA bertujuan menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada belia-belia di luar bandar dan di dalam bandar bagi membolehkan para belia mendapat kemahiran sebagai persediaan menjadi tenaga kerja mahir dan usahawan teknikal bagi memenuhi keperluan industri dan keperluan kegiatan ekonomi serta keusahawanan di daerah setempat dan dalam negara. Bajet menguruskan operasi GIATMARA dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui peruntukan yang disalurkan menerusi MARA.
VISI
Menjadi Pusat Latihan Teknikal dan Vokasional sepanjang hayat yang terunggul di peringkat negara dan antarabangsa.
MISI
Menyediakan latihan teknikal dan vokasional yang berkualiti dan memenuhi kehendak komuniti dan Negara bagi mewujudkan tenaga kerja mahir dan bakal usahawan yang berdaya saing.
OBJEKTIF
- Meningkatkan bilangan bumiputera yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional yang bersesuaian dengan keperluan negara
- Menambahkan bilangan bakal usahawan bumiputera yang berdaya saing di pasaran terbuka
- Meningkatkan bilangan tenaga pengajar yang kompeten dan berkelayakan dalam bidang teknikal dan vokasional
- Meningkatkan keyakinan pihak ‘stakeholder’ dan industri terhadap keupayaan pelatih lepasan GIATMARA